Ini mungkin bacaan yang agak panjang. Tapi saya tetap mahu kongsikan ia malam ini. Mudah-mudahan ia menjadi satu bacaan baik sebelum kalian masuk tidur. Bacalah ya. ‘Free’ kot. Bukan minta duit pun 🤪
1. Product Knowledge.
Sebelum kita mulakan jualan, kita mesti kena faham betul-betul apakah benda yang kita mahu jual itu ? Apakah ciri-cirinya dan apakah manfaat-manfaatnya ? Sebagai contoh, apabila kita menjual penapis air, Teknologi nano dan dua fungsi ( panas dan sejuk ) itu adalah ciri-cirinya. Manakala “ Penapis Air kami membantu memudahkan suami bancuh susu anak apabila isteri tidur lena “ adalah manfaatnya.
2. Alat bantuan jualan.
Untuk menambah keselesaan kita dalam membuat jualan. Pastikan kita ada peralatan bantuan yang lengkap. Sebagai contoh, apabila kita mahu melayan whatsapp dengan prospek, kita sudah ada gambar produk, testimoni dan copywritingnya. Sebelum kita buka meja untuk berniaga di pasar malam, kita sudah ada kain rentangnya. Bagi seorang peniaga jagung kukus, penutup periuk kukus itu alat bantuannya. Ia terjadi apabila diangkat-angkat penutupnya dan berkepul-keluar keluar wapnya, gitu.
3. Atasi rasa takut.
Kita takut kerana kita mahu buat benda yang kita tak pernah buat. Ini adalah satu perasaan yang normal. Ketika saya mula menjual di pasar malam dahulu, saya pun takut juga. Takut orang tak beli dan takut kepada segalanya. Kita kena atasi rasa takut ini dengan pelbagai aktiviti menjual. Mula-mula memanglah kita berasa segan, lama-lama nanti ia akan bertukar menjadi gian. Atasi rasa takut dengan proses menjual yang berulang-ulang, bukan bawa air pergi berjumpa pawang.
4. Berlatih bercakap.
Tak kisahlah cakap dalam telefon atau bercakap secara berdepan. Jika kita lihat, semua jurujual yang berjaya memang pandai bercakap apabila mereka menjual. Mulut manis kata orang. Mestilah mulut kena manis, kalau mulut puaka nanti siapa pula yang mahu beli barang dengan kita ? Berlatih untuk bercakap perkara-perkara yang disukai pelanggan. Ceritakan kelebihan, manfaat, ciri baik dan tawaran-tawaran untuknya. Gunakan point yang sama dalam penggunaan whatsapp dan medium-medium lain. Tulis seolah-olah kita sedang bercakap.
5. Kenalpasti channel jualan.
Channel jualan itu maksudnya di mana tempat kita mahu jual. Sebagai contoh, jika kita menjual secara online, channel jualan kita boleh jadi sebuah laman web, laman facebook atau instagram. Dan sekiranya kita menjual secara offline, channel itu mungkin boleh jadi di tepi kaki lima, lot kedai, pasar malam ataupun booth di expo-expo. Bila kita tahu channel mana yang mahu kita cuba, barulah kita boleh merancang hal seterusnya. Tahu channel jualan sangat penting untuk kita merancang strategi jualan.
6. Siapa pelanggan kita.
Kena kenalpasti siapa yang mahu beli produk dan perkhidmatan kita ini. Janganlah kita main redah sahaja. Jangan cari fasal mahu jual air batu kepada orang Eskimo. Bukan tak boleh, boleh jadi ada orang Eskimo yang beli. Tapi bukan dia beli sebab dia nak guna, tapi sebab dia kesian tengok muka seposen kita. Sebagai contoh, jika kita mahu menjual penapis air untuk memudahkan kerja ibu-ibu muda di rumah, sasarkan kepada wanita berumur 20an hingga 30an. Jika mahu jual jajan untuk budak sekolah, pacak payung depan pintu pagar sekolah sewaktu budak-budak mahu pulang.
7. Jumpa lebih ramai orang.
Tak usah jadi pemalas dan penakut. Jualan yang paling sedap ialah jualan kepada orang yang kita tidak kenal dan tidak pernah jumpa. Meet more people everyday. Semakin ramai kita jumpa, semakin tinggi peluang close deal kita. Orang yang kita kenal biasanya mahu minta diskaun. Tetapi orang yang kita tak kenal biasanya minta maaf saja. Tak sakit hati! Kan ? Jumpa 10 orang untuk dapat 1 orang pelanggan. Dapat ekstra pelanggan itu bonuslah !
8. Berhenti masuk kelas sekejap.
Hah. Terkejut ? Seminggu sekali kau masuk kelas ni apa cerita ? Fokuslah kepada kerja-kerja membuat jualan dahulu. Kerana daripada jualan inilah akan datang pendapatan. Bisnes tanpa aktiviti jual beli itu bukan bisnes namanya. Esok dah bertimbun duit tu, kau pergilah kelas semula. Berhenti sekejap keseronokan berselfie dan bernetworking tu. Hello bro, kembalilah kepada realiti hidupmu. Lakukan apa yang perlu dilakukan dahulu. Siapa ajar nak berniaga mesti kena masuk kelas seminggu sekali ? Nak berniaga kena menjual bro. Jual jual jual.
9. Cari keseronokan menjual.
Bagaimana ? Cari teknik jualan yang kita suka dan cuba-cubalah sampai berjaya. Nak menjual tak boleh stress-stress bro. Kita mesti kena cool dan tenang-tenang saja. Jika keluar rumah di pagi hari pun kau sudah stress, maka kau akan stress sepanjang hari. Keseronokan menjual setiap orang tidak sama. Dulu-dulu, saya bawa tunang ( sekarang isteri ) untuk ikut menemani saya berniaga setiap hujung minggu. Saya datang awal ke lokasi niaga dan saya akan pastikan perut kenyang sebelum pulang. Itu keseronokan menjual saya. Lain orang lain seronoknya. Cari benda itu sampai jumpa.
10. Reward diri sendiri.
Belajar untuk ucap terima kasih, tepuk tangan dan beri hadiah kepada diri sendiri pula. Raikan setiap kejayaan kecil untuk menerima kejayaan-kejayaan yang lebih besar. Biarlah orang cakap kita poyo sekalipun, bukan dia nak bayar bil letrik kita setiap bulan. Bukan dia juga yang menyuap nasi ke mulut kita bila kita lapar. Apabila diri sendiri capai target jualan, beri hadiah dan ucap terima kasih. Puji diri sendiri begini, “ Lu memang power baiii 👉👉👉 “. Dulu saya reward diri dengan aktiviti memancing. Apabila jualan harian saya mencecah 1000 ringgit, saya akan terus ke kolam memancing Sealion di Klang pda keesokan harinya. #padubeb
11. Cari kawan untuk berteman.
Jika rasa kita ini memang jenis susah mahu buat apa pun seorang diri. Carilah seseorang buat peneman. Saya tak nafikan memang ada orang begini, nak pergi kencing pun mahu berteman, makan berteman dan serba serbi mahu ada kawan. Carilah orang itu dan ajak dia bersama kita. Tapi itulah, kawan ini pun manusia juga. Dan manusia boleh berubah tanpa disangka-sangka. Bila dia sudah tahu banyak benda, risikonya ialah kita disailang oleh mereka pula. Inilah namanya kawan makan kawan. Tolong susah, tak tolong pun susah. Sebab itu kadang-kadang bersendirian lebih hensem dan padu.
12. Senyum.
Kena senyumlah bro. Walaupun memang sejak lahir muka kita memang jenis ketat macam Terminator, kau kena paksa senyum juga. Kata nak menjual ? Mana ada orang mahu beli dengan orang bermuka ketat ? Senyum ini bukan sahaja menjadi daya penarik, malah ia juga mampu membuatkan diri kira berasa tenang dan selesa. Tetapi janganlah pula kau asyik senyum saja tanpa henti, nanti orang ingat kau gila !
13. Jangan rasa bagus.
Ini masalah yang selalu membunuh seorang jurujual champion. Feel good, comfort dan rasa dah bagus sangat. Bila perasaan ini datang, kau kena cepat-cepat beristighfar dan bawa mengucap. Apabila terbit sedikit saja rasa bagus begini, kau kena cepat-cepat kawal supaya dia tak membawa kepada penyakit hati seperti sombong dan lupa diri. Kita nampak bagus di mata orang sebab Tuhan sudah tutup keaiban kita, itu saja. Orang bisnes yang tiada masalah ini akan selalu dihormati dan senang didekati. Nak sombong apa ? Oksigen pun kita dapat Free.
14. Cipta cabaran baru setiap hari.
Lupakan kejayaan semalam! Saya sering ulang point ini sejak dulu lagi. Tak usah kenang sangat kejayaan semalam. Raikan sekejap dan lupakan terus. Sebaliknya cipta pula gol baru dan cabaran baru selepas itu. Sebagai contoh, jika bulan yang lepas kita sudah berjaya menjual 3 unit penapis air, bulan ini kena cuba jual sekurang-kurangnya 6 unit pula. Gol mesti logik dan mudah dicapai. Ya. Kena cabar diri untuk tambah baik setiap hari.
Saya Ikram Al-Banjari dan saya seorang peniaga. Saya bermula di pasar malam, di jalanan dan di pentas kecil. Saya menulis di faceook untuk menghormati perbezaan dan meraikan kesamaan antara kita. Saya percaya ada diantara kita yang perlukan sentuhan semangat begini. Sebab itu saya terus menulis.
Tak perlu tekan Share dan Tag kawan-kawan jika kalian merasakan penulisan saya ini tidak memberi manfaat. Abaikan saja dan boleh pergi berdengkur. Sebaliknya, buatlah apa yang sepatutnya supaya ramai dapat berkongsi manfaatnya, kecuali ‘Copy and Paste’.
‘Copy and Paste’ adalah salah disisi undang-undang walaupun tujuannya murni. Peguam saya tidak akan teragak-agak untuk failkan saman kepada perompak ‘content’ di sini. Satu perkataan dirompak, saya saman seribu ringgit. Mahal kan ?
Ikram Al Banjari
Saudagar Jalanan