Khamis, 8 Mac 2018

KENAPA DOA SESEORANG TIDAK MUSTAJAB?


Al-Imam al-Qurtubi rahimahullah menukilkan di dalam kitab tafsirnya, bahawa pernah ditanya kepada Ibrahim bin Adham rahimahullah, kenapakah dengan diri kami yang berdoa tetapi tidak dimakbulkan doa kami di sisi Allah?

Lalu Ibrahim bin Adham rahimahullah berkata :

Doamu tidak mustajab kerana :

1) Kamu kenal Allah tetapi kamu tidak taat kepada-Nya.

2) Kamu kenal Rasulullah ﷺ tetapi kamu tidak mengikuti sunnah Baginda.

3) Kamu kenal al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengan isi kandungannya.

4) Kamu makan daripada nikmat kurniaan Allah tetapi kamu tidak menunaikan tanggungjawab bersyukur kepada-Nya.

5) Kamu tahu tentang syurga tetapi kamu tidak berusaha untuk mendapatkannya.

6) Kamu tahu tentang neraka tetapi kamu tidak berusaha untuk menyelamatkan diri daripadanya.

7) Kamu kenal syaitan tetapi kamu tidak memeranginya, bahkan kamu berkawan dengannya.

8) Kamu tahu bahawa kematian itu pasti tetapi kamu tidak mempersiapkan diri untuk berhadapan dengannya.

9) Kamu mengebumikan mayat tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.

10) Kamu lupa tentang aib dirimu dan kamu sibuk dengan aib orang lain.

Sumber : Tafsir al-Qurtubi

"Ya Allah, taufiqkanlah kami dengan amalan yang memustajabkan doa kami dan jauhkanlah kami daripada segala perkara yang menyebabkan doa kami tidak diterima di sisi-Mu."

الفقير إلى عفو ربه،
أبو عمار مدني،
غفر الله له ولوالديه ولجميع المسلمين.

Ustaz Salehuddin Bin Abu Samah

Semenyih, Selangor.
Jumaat, 21 Jamadil Akhir 1439H - 9 Mac 2018.